Ibu Siti Fazurina Mendedahkan Pernikahan Anaknya Sebulan Lau Tidak Sah | PETALING JAYA: Ketika pelakon Trilogi Cinta, Siti Fazurina sedang bergembira meraikan majlis resepsi perkahwinannya pada Sabtu (hari ini), ibu kepada pelakon itu mendedahkan pernikahan anaknya lebih sebulan lalu adalah tidak sah di sisi agama Islam.
Zubaidah Abu Bakar, 61, secara eksklusif memaklumkan kepada mStar Online, pernikahan itu tidak sah kerana Fazurina, 30, telah memberi maklumat palsu kepada Pejabat Agama Islam, Bahagian Timur Laut, Pulau Pinang bagi mendapatkan kebenaran berkahwin.
"Dia memberitahu kepada pejabat agama bahawa dia anak tunggal walhal dia mempunyai dua adik lelaki seibu sebapa yang boleh menjadi wali untuknya.
"Penipuan itu telah menyebabkan pihak mahkamah membenarkan dia bernikah dengan berwalikan bapa saudaranya.
"Fazurina juga telah menukar qariah asalnya iaitu Sungai Petani (Kedah) kepada Ayer Hitam (Pulau Pinang) dan melangsungkan pernikahan dalam tempoh kurang empat bulan bermastautin di situ," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada petang Jumaat.
Fazurina atau nama sebenarnya, Siti Fazurina Mohd Famir, 31 dan Muhammad Hykal Zulkifli, 32, melangsungkan perkahwinan di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember tahun lalu berwalikan bapa saudaranya, Mohd Fahmi Bin Freedam Shah, 59, tanpa pengetahuan ibu dan ahli keluarganya yang lain.
Pasangan itu mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka pada Sabtu (hari ini) di Pearl Island Country Club, Bayan Lepas.
Pada 24 Disember lalu, Siti Fazurina bersama suaminya mengundang ibu dan ahli keluarganya dalam satu sidang media di Pulau Pinang bagi menjelaskan kontroversi yang berlaku.
Dalam majlis penuh drama itu, Siti Fazurina menangis teresak-esak sambil memohon ampun kepada ibunya sebelum wanita itu ditarik oleh ahli keluarga yang lain agar meninggalkan majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Zubaidah memberitahu beliau telah merujuk perkara tersebut ke pejabat agama yang sama baru-baru ini dan melantik seorang peguam syarie untuk menyiasat kesahihan pernikahan itu yang tidak mengikut syarak dan perlu dinikahkan semula.
Bagaimanapun katanya, Fazurina gagal hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Gantung, Pulau Pinang seperti diminta pada 6 Februari lalu dan memberikan alasan tidak menerima sebarang notis mengenai arahan itu.
"Apabila peguam yang dilantik menelefonnya sendiri untuk menyuruhnya hadir ke mahkamah kerana dia enggan berbuat demikian, dia menegaskan perkahwinannya sah dengan alasan telah merujuk kepada seorang ustaz di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dengan alasan-alasan tertentu,”
"Dia enggan tampil kerana menuduh keluarga ingin memisahkannya dengan suami walhal kami ingin menikahkannya semula dengan cara yang betul dan sah.
"Saya tidak mahu dia hidup dalam keadaan berzina jika pernikahan itu tidak sah dan sebagai yang mengetahui kebenaran saya tidak mahu bersubahat," katanya.
Sementara itu, Zubaidah berkata, pihak pejabat agama sedang berusaha untuk menemuinya bagi menyelesaikan kes itu.
"Surat tersebut pernah diserahkan kepada bapa saudara yang menjadi saksi pernikahannya termasuklah keluarga mertuanya namun mereka enggan menerima surat tersebut.
"Mungkin pihak pejabat agama akan ke majlis resepsinya untuk menyerahkan surat itu.
"Malah sijil asli pernikahannya masih tidak dikeluarkan kerana masalah berkenaan," katanya yang kecewa dengan sikap ego pasangan itu selain tidak menghormatinya sebagai ibu.