Wanita Ditemui Mati Selepas Melahirkan Anak Seorang Diri



SEREMBAN – Panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak berjawab membawa kepada penemuan seorang wanita bersama bayi lelaki yang baru dilahirkan meninggal dunia dalam tandas rumah disewanya di Taman Marida, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian disedari kira-kira 11.35 malam apabila pemilik rumah, Nordiana Johari, 29, cuba menghubungi penyewanya itu untuk mengutip duit sewa rumah.

Menurut Nordiana, dia bersama suaminya membuat keputusan ke rumah berkenaan selepas gagal menghubungi penyewanya bagi mendapatkan wang sewa RM300 yang belum dijelaskan.


Anggota polis tiba di rumah mangsa sebaik mendapat panggilan tuan rumah terbabit. Gambar kecil: Nordiana

“Sejak Ahad lalu saya cuba menghubungi mangsa dan menghantar SMS untuk mengutip sewa rumah, tapi tidak berjawab. Jadi, kami ambil keputusan datang ke rumah ini. Sebaik sahaja sampai, saya lihat lampu dan televisyen dipasang,” katanya.

Menurutnya, dia cuba memanggil mangsa tetapi tidak berjawab sebelum bertindak masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci.

Bagaimanapun. katanya, dia mula berasa tidak sedap hati selepas mendapati keadaan ruang tamu berselerak dan terdapat tompokan darah kering pada lantai.

"Saya tengok ruang tamu berselerak. Hanya ALLAH yang tahu perasaan saya apabila melihat sepasang kaki terjulur dari dalam tandas di dalam bilik utama di bahagian belakang, sebelum saya menghubungi polis," katanya ketika ditemui pemberita, malam kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang berkerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya tinggal seorang diri di rumah terbabit sejak dua bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin mengesahkan kejadian.

“Berdasarkan siasatan, mangsa meninggal dunia akibat melahirkan anak. Dia dipercayai meninggal lebih dari sehari," 

7 comments