Shuib (Sepahtu) Rakam Proses Kelahiran Anak Kedua



Pelakon dan pelawak Shuib (Sepahtu) tidak berasa gentar apabila menyaksikan sendiri dan merakamkan proses kelahiran anak keduanya yang dilahirkan secara pembedahan di Hospital Ampang Puteri, Jumaat lalu.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 29, berkata, dia sangat gembira dapat menyaksikan sendiri anak yang diberi nama Dzahira Talita Zahra itu dilahirkan dan menemani isterinya, penyanyi Siti Sarah Raisuddin di dalam bilik pembedahan.

"Dari anak pertama lagi saya nak masuk dan lihat sendiri bagaimana proses isteri melahirkan anak kami tetapi doktor tidak benarkan. Alhamdulillah kali ini doktor yang sama menyambut anak pertama dahulu membenarkan saya masuk ke dalam bilik pembedahan.

"Walaupun Sarah terpaksa melakukan pembedahan kerana saiz bayi yang agak besar saya sedikit pun tidak gentar untuk melihat dan merakamkan proses itu malah sangat bersyukur," katanya.

Sarah dan Shuib menyambut kelahiran anak kedua mereka tepat pada pukul 4.46 petang dan bayi yang seberat 3.6 kilogram itu berada di dalam keadaan sihat.

Dalam pada itu, Shuib berkata, pengalaman menyaksikan sendiri proses tersebut dapat menginsafkan dirinya dan dapat menghargai pengorbanan seorang isteri yang bertarung nyawa untuk melahirkan anak.

"Kita sebagai lelaki tidak dapat merasai kesakitan yang ditanggung oleh isteri dan dengan memberi sokongan dan menemaninya di bilik pembedahan sekaligus dapat menginsafkan saya bahawa betapa besar pengorbanan seorang isteri dan ibu," katanya.

Sementara itu, Shuib berkata, dia dan Sarah sepakat memilih nama Dzahira Talita Zahra yang membawa maksud gadis yang berzikir bagai bunga untuk anak perempuan mereka itu.

"Saya jumpa nama itu ketika membuat carian di internet dan kami amat menyukainya dan maknanya juga baik. Kami akan memanggilnya Talita yang membawa erti gadis," ujarnya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011 dan mempunyai seorang anak lelaki, Uwais Alqarni yang berumur setahun 5 bulan.

1 comments