Murid Sekolah Maut Dilanggar Kereta Peronda Polis
Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta unit pengiring polis di Kilometer 4 Jalan Kaki Bukit di Kampung Salang, Kangar. Mangsa, Mohd Akmal Daniel, 11, dikatakan dalam perjalanan balik ke rumah selepas bermain hoki di sekolahnya sebagai persediaan untuk bertanding di peringkat negeri.
Bapanya, Che Azmi Che Ani, 37, berkata, anaknya memang aktif bersukan dan kebiasaannya dia minta untuk pergi sendiri ke sekolah pada waktu petang.
“Melainkan sesi persekolahan pada waktu pagi, saya yang hantar dan ambilnya dari sekolah. Akmal selalu sebut dia nak ke Melaka sebab ada pertandingan hoki di sana bersama 10 rakannya yang terlibat. Jadi, setiap petang dia perlu ke sekolah untuk menjalani latihan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sepupunya, Nor Mardiana Mohd Noor, 27, berkata, dia tidak menyangka kerana baru sahaja berjumpa dengan mangsa sebelum kejadian.
“Saya terkejut apabila dikhabarkan dengan berita kemalangan ini kerana baru sahaja bertemu dengannya waktu makan tengah hari sambil bergurau dengannya. Biasanya, saya akan memeluknya sebelum ke sekolah memandang dia seorang kanak-kanak yang manja tetapi, pada hari kejadian saya terasa berat untuk berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang apabila pemandu unit kenderaan unit pengiring polis dari arah Beseri ke Kangar tidak sempat mengelak mangsa yang sedang melintas jalan menaiki basikal. Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
9 comments