Facebook Palsu Hina Bekas Menteri Besar Kedah



Kuala Lumpur: Seorang wanita hidup dalam ketakutan selepas menerima ugutan bunuh orang ramai apabila fotonya dipercayai digunakan ‘cybertrooper’ dari negara jiran yang memalsukan akaun laman Facebook (FB) mencerca bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang kini dirawat di hospital di Pulau Pinang seterusnya membangkitkan kemarahan orang ramai.

Foto Nor Amalina Nawi, 24, bersama temannya dimuat naik pada 13 Ogos 2012 dan dijadikan foto paparan utama FB didaftarkan dengan nama Lynn Rosmizan yang mencerca Azizan dengan kata-kata kesat selain banyak memaparkan bahan tulisan, foto dan video mengutuk pemimpin dan parti pembangkang dipercayai bertujuan mencetuskan kemarahan masyarakat dan melaga-lagakan penyokong kerajaan dan pembangkang.

Terdapat dua laman FB disyaki palsu menggunakan nama Lynn Rosmizan dengan kedua-duanya menggunakan foto Nor Amalina sebagai gambar profil didaftarkan di Singapura iaitu di Pasir Ris dan Woodlands pada Ogos dan Disember lalu.

Bagaimanapun, cubaan mengakses laman FB Lynn Rosmizan yang didaftarkan di Pasir Ris itu malam tadi gagal selepas dipercayai sudah dipadamkan pemiliknya. Sebuah lagi akaun FB Lynn Rosmizan yang tidak membicarakan hal politik dan didaftar di Woodlands pada 13 Disember 2012 masih wujud.


NOR Amalina menjadi mangsa ‘cybertrooper’ dari negara jiran yang memalsukan akaun laman Facebook (FB)nya untuk mencerca bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Nor Amalina berkata, dia dimaklumkan rakannya, kelmarin melalui satu pesanan ringkas memberitahu namanya kini sedang hangat diperkatakan di laman FB itu.

“Saya terus membuka Facebook dinyatakan dan terkejut gambar digunakan itu adalah saya bersama kawan lelaki saya, tapi ia menggunakan nama individu lain.

“Facebook itu menerima kecaman hebat daripada lebih 700 pengguna (kini lebih 1,000 komentar) yang rata-ratanya tidak berpuas hati dan mengugut mahu membunuh sekiranya dapat mengesan saya,” katanya.


1 comments