“Selama melakukan pekerjaan ini, saya tak nafikan banyak perkara aneh dilalui. Antaranya terserempak ular sebesar pokok berwarna kemerah-merahan dan memiliki mata bersinar melintas, menemui kepala dan kaki mayat yang beralih dari kedudukan asal serta banyak lagi,”
Tanah perkuburan adalah satu kawasan yang sering dikaitkan kejadian menyeramkan dan sunyi. Jika menghampirinya pun sudah menjadi satu ketakutan buat kebanyakan orang, apatah lagi mahu menggali dan membongkar semula isi dalamnya.
Bagaimanapun, itulah pekerjaan yang sudah sebati dengan Haji Wijaya atau lebih mesra dikenali sebagai Haji Rahman, 43, yang tinggal di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Sejak berusia 16 tahun lagi, dia sudah mula mengikut gurunya, seorang kiai di Lamongan, Jawa Timur menggali dan memindahkan pusara.
Kerja menggali kubur sesuai dilakukan pada waktu malam kerana lebih tenang.
Maka setelah berhijrah dan menjadi penduduk tetap Malaysia sejak 21 tahun lalu, Haji Rahman meneruskan pekerjaan ini. Dianggarkan lebih 33 tanah perkuburan sudah dialihkannya termasuk lima di negara ini.
“Hari ini pekerjaan lebih mudah sebab dibantu penggunaan jengkaut sedangkan sebelum ini, menggunakan cangkul. Kerja juga lebih sistematik dengan kerjasama jabatan agama dan forensik,” ujar Haji Rahman.
Setiap kali diberikan tanggungjawab memindahkan kubur, Haji Rahman akan melaksanakannya bersama lima pembantu lain. Mereka bekerja siang dan malam agar tugasan selesai mengikut masa diberikan.
Setiap orang mempunyai tugas masing-masing termasuk mengendalikan jengkaut, menghitung kubur, mengumpul tulang, mengapankan dan melakukan kerja pembersihan.
Adab Pengalihan Kubur
“Jika tiada aral melintang, kerja yang diberikan dalam masa tiga bulan mampu disiapkan sebulan setengah. Secara purata sebanyak 100 kubur boleh dipindahkan dalam masa sehari jika kerja dilakukan siang dan malam iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan 8 malam hingga 4 pagi,” ujar Haji Rahman.
Bahagian kepala perlu dikeluarkan dahulu mengikut tertibnya untuk pengalihan kubur.
Meskipun ramai yang mungkin sangka siang lebih mudah melakukan kerja sebegini, perawat tradisional ini pula berpendapat sebaliknya. Menurut Haji Rahman, pekerjaan waktu malam lebih tenang kerana cuaca yang dingin dan kurang berselut. Tetapi bayaran untuk pembantu yang bekerja waktu malam tinggi sedikit daripada mereka yang bekerja sebelah siang.
Biasanya, tapak pusara baru akan digali terlebih dahulu kerana sebaik sahaja mayat daripada kubur asal dikeluarkan, ia perlu dikebumikan segera. Kesemua pekerjaan mesti dilakukan dengan tertib dan beradab. Antaranya, pembukaan kerja pengalihan kubur dilaksanakan dari barat ke timur dan menghadap kiblat.
Sebaik sahaja tulang ditemui, bahagian kepala akan dinaikkan terlebih dahulu diikuti bahagian tubuh lain. Kain kapan lama akan digantikan dengan yang baru. Waris setiap kubur dibenarkan untuk menyaksikan proses ini berlangsung.
“Selama melakukan pekerjaan ini, saya tak nafikan banyak perkara aneh dilalui. Antaranya terserempak ular sebesar pokok berwarna kemerah-merahan dan memiliki mata bersinar melintas, menemui kepala dan kaki mayat yang beralih dari kedudukan asal serta banyak lagi,” ujar Haji Rahman.
Mayat Tidak Reput
Bagaimanapun beliau akui bahawa kadangkala mengalirkan air mata keinsafan apabila melihat sesetengah mayat yang kelihatan seolah-olah baru dikebumikan padahal kuburnya sudah berusia puluhan tahun.
Dia juga pernah tersentuh melihat wajah mayat yang sudahlah tidak reput dimakan bumi malah kelihatan cantik, tenang dan seolah-olah tersenyum.
Waris mayat dibenarkan melihat kerja-kerja pembongkaran kubur
Sebelum melakukan kerja mengalihkan kubur, menjadi amalan Haji Rahman untuk berpuasa terlebih dahulu sama ada satu hari atau tiga hari sebelumnya. Hikmah di sebalik amalan ini katanya, dia lebih peka ketika melakukan pekerjaan termasuk menemui kubur yang mungkin sudah kehilangan nisan atau tanda.
Tidak menafikan terdapat cabaran tersendiri bagi penggali kubur lama sepertinya, tidak hairanlah ramai pembantu Haji Rahman tidak bertahan lama. Sesetengahnya menarik diri kerana tidak tahan dengan gangguan dialami. Antaranya, diganggu mimpi ngeri secara berterusan dan tiba-tiba jatuh sakit.
“Memang bukan senang melakukan kerja ini tapi sebagai orang Islam, menjadi kewajipan saya untuk menyempurnakannya.
"Kadangkala dugaan menimpa orang terdekat dengan kita seperti isteri seolah-olah hilang akal sampai keluar merayau atau anak menangis tidak henti-henti. Tapi ini semua cabaran yang perlu ditempuh dengan cekal dan sabar,” kata Haji Rahman.
3 comments