Ditikam Kerana SMS Cinta Terhadap Isteri Rakan Sendiri
Kiriman SMS mengandungi kata-kata cinta kepada isteri rakan meragut nyawa seorang lelaki apabila dia ditikam di leher oleh rakannya itu di Jalan Klang Sentral, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 9.55 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mohammad, 22, ditemui mati di tempat letak kereta berhadapan premis rumah kedai tiga tingkat kawasan berkenaan.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang berketurunan Acheh dan bekerja sebagai pembantu sebuah kafe siber di kawasan itu bertengkar dengan suspek sebelum dia ditikam dengan pisau.
Suspek bertindak demikian kerana marah dengan tindakan mangsa menghantar SMS cinta kepada isterinya. Suspek dan mangsa dikatakan saling mengenali.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, mangsa yang berlumuran darah ditemui seorang rakan lain yang kebetulan lalu di tempat kejadian untuk bertemu isterinya.
Menurutnya, saksi itu turut menyaksikan kejadian berkenaan sebelum memaklumkannya kepada anggota polis yang meronda di kawasan berhampiran.
“Sejurus menerima laporan, sepasukan anggota polis dikejarkan ke tempat kejadian, namun sebaik tiba mangsa didapati sudah meninggal dunia.
“Pemeriksaan mendapati ada kesan tikaman berukuran lima sentimeter pada leher mangsa dan polis mengesyaki kejadian berpunca daripada dendam dan cemburu,” katanya.
Mohamad Shukor berkata, pemeriksaan lanjut di rumah suspek di Jalan Goh Huat, di sini, mendapati lelaki terbabit sudah melarikan diri bersama isterinya.
Menurutnya, polis menahan saksi berusia 19 tahun bersama isterinya di tempat kejadian, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
“Hasil maklumat daripada saksi itu, mangsa dikatakan ada menghantar SMS berunsur cinta kepada isteri suspek dan polis turut menjumpai satu sarung pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa,” katanya. Beliau berkata, polis masih berusaha mengesan identiti penuh mangsa kerana tiada dokumen lengkap ditemui pada lelaki itu selain pasport perjalanan yang sudah tamat tempoh pada 20 Januari lalu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar tampil bagi membantu siasatan.
3 comments