PASIR GUDANG – Politeknik di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjaya mencipta rekod baru dalam ‘The Malaysia Book of Record’ melalui Program Derma Darah Perdana yang diadakan serentak di 29 politeknik seluruh negara, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Mejar (K) Md Nor Yusof berkata, program itu berjaya mencapai sasaran penderma apabila seramai 13,133 penderma hadir menderma darah di Politeknik seluruh negara.
Menurutnya, politeknik mengambil tanggungjawab membantu pihak hospital di seluruh negara dalam menampung jumlah bekalan darah yang diperlukan terutama ketika berlaku kes kecemasan.
“Kita menyasarkan sejumlah 13,000 penderma hadir menderma darah di akhir program, tapi tak sangka penderma yang terdiri daripada pelajar, kakitangan politeknik, kakitangan awam dan orang ramai hadir melebihi sasaran sebenar.
“Kita berusaha membantu meringankan beban pihak hospital dalam memastikan bekalan darah mencukupi memandangkan mereka yang memerlukan darah terus meningkat dari tahun ke setahun,” katanya pada Majlis
Perasmian Penutup Program Derma Darah Perdana Politeknik KPT, di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Omar Abd Rahman; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar; Pengarah PIS, Azizi Lin dan Pengarah Politeknik Metro Johor Bahru, Roslee Yahya.
Md Nor berkata, program itu bertujuan untuk menyahut cabaran Wawasan 2020 yang ketujuh iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi yang mana kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri.
Menurutnya, kehadiran ramai masyarakat menderma darah pada program sehari itu menandakan keprihatinan masyarakat khususnya warga Politeknik terhadap aktiviti berkenaan
“Saya difahamkan di PIS sahaja seramai 1,318 individu hadir untuk menderma darah pada hari ini (semalam) melebihi sasaran awal seramai 800 penderma.
“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua penderma yang bermurah hati menghulurkan bantuan kepada insan yang memerlukan tanpa meletakkan sempadan agama dan keturunan," katanya.
sumber :
http://www.sinarharian.com.my