Responden Universiti Malaya Tidak Percaya Video Seks Dikaitkan Datuk Anwar Ibrahim



KUALA LUMPUR, 19 Dis: Kajian yang dibuat Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati majoriti responden tidak percaya dengan video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kajian itu juga mendapati, orang ramai memiliki tahap kepercayaan yang rendah terhadap media arus perdana dalam membuat laporan tentang politik.
Keputusan ini diperolehi dalam kajian yang dijalankan pada 23 – 30 Oktober 2011 di Perak, melibatkan 1304 responden dengan menggunakan kaedah temubual secara bersemuka menggunakan soalan kaji selidik berstruktur.
Demikian kata Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman, Pengarah UMCEDEL, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dalam satu kenyataannya hari ini.
Selain keputusan itu, mereka juga mendapati majoriti pengundi di Perak telah membuat keputusan parti yang akan dipilih pada PRU ke 13 nanti.
Persepsi pengundi di Perak terhadap kerajaan BN pula berada pada tahap yang tidak membanggakan, selain mendapati pendekatan program 1Malaysia belum mampu meningkatkan sokongan terhadap BN di Perak.
Kajian ini juga mendapati majoriti etnik Melayu menyokong BN sementara majoriti etnik Cina menyokong Pakatan di negeri itu.
Sementara itu Pas pula dilihat mampu menjadi alternatif kepada Umno untuk menjaga kepentingan Melayu, lapor Harakahdaily.

0 comments