WAHAI ISTERIKU...

WAHAI ISTERIKU...:
WAHAI ISTERIKU...

"Yang muka kau ni kelat semacam ni kenapa Suhail?" Imran menegur.

Dari tadi dia melihat sahabatnya yang seorang ini duduk termenung dengan mukanya yang berkerut.

"Takda apa-apa la Im. Aku macam biasa je," Suhail berdalih.

"Ish, sekilas ikan di air, aku tahu jantan betinanya tau. Apa yang dah berlaku ni?" Imran melabuhkan punggungnya di sebelah Suhail. Tangannya mengurut-urut tengkuk sahabatnya itu, mudah-mudahan kurang tekanan persaannya.

Huhh....terkeluar keluhan dari mulut Suhail. Matanya sayu memandang sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di tepi tasik. Entah, hilang ke mana sudah keceriannya hari ini.

"Aku tak tahulah Im. Aku ada problem dengan isteri aku." Suhail memulakan bicara.

Terbayang wajah isterinya yang hampir 7 bulan dikahwini. Kerenah isterinya semakin tidak dapat difahami. Acap kali dia bergaduh kecil kerana sikap isterinya. Kalau setakat membebel tu, dia tak kisah. Tetapi kadangkala ucapan isterinya yang seakan merendahkan maruahnya cukup mengguriskan hati.

"Sarah tembak kau lagi ke?" tanya Imran dengan nada bergurau.

Suhail tersengih kecil. "Ya, kali ini betul-betul tepat ke kalbu."

Mereka berdua tergelak kecil. Seketika kedua sahabat tersebut berdiam diri. Suhail, seorang mahasiswa pengajian Islam yang baru sahaja berumur 22 tahun. 7 bulan lalu dia membuat kejutan dengan menyatakan hasratnya untuk bernikah ketika belajar. Imran menjadi orang pertama yang mengetahui hasratnya.

Dalam keadaan kelam kabut mahasiswa lain berhadapan dengan peperiksaan, Suhail tetap dengan hasratnya itu. Biarpun dibenak hati Imran tidak berapa bersetuju dengan sahabatnya itu, tetapi dia tidak menghalang. Cukup sekadar peringatan, nasihat dan sokongan diberikan kepada Suhail supaya dia fikir masak-masak tentang keputusannya itu.

Akhirnya, termeterailah ikatan pernikahan antara Suhail dan Sarah yang juga merupakan rakan sekelas Imran. Namun, beberapa bulan ini, Suhail kerap mengeluh. Acap kali dia berceritakan mengenai perangai isterinya yang berubah-ubah.

"Kau tahu Im, semalam aku terlewat balik rumah. Kalau tak kerana Ustazah Hanizah minta dihantar assignment hari ini, aku dah target balik awal." Suhail memeluk lututnya.

"Apa reaksi Sarah?" Imran bertanya.

"Macam biasa, mulanya biasalah, baru nak panas enjin. Dia mengomel sikit. Aku minta maaf dan jelaskan pada dia. Aku ingat dah habis masa makan malam, tapi ada siri kedua rupanya."

Imran tersengih lucu mendengar kata-kata Suhail tersebut.

"Dia bagi kat aku machine gun kau tahu. Berasap jugalah telinga aku ni. Alhamdulillah masa tu aku baru lepas solat Isyak. Wuduk masih belum kering lagi. Bolehlah back up kesabaran aku yang semakin menipis tu."

"Kenapa? Kalau kau dah batal wuduk, kau nak buat apa?" Imran bertanya dengan nada lucu.

"He,he,he.... aku tak buat apa-apa. Tadah jek." Suhail tersengih.

"Suhail....Suhail.."

"Tapi Im, aku sayang sangat kat isteri aku tu. Cuma, yang buat aku terasa sikit malam tadi bila dia kata macam aku ni tak pernah nak tolong dia. Macam takde yang baik yang aku buat untuk dia..." sayu suara Suhail bercerita.

Tiada jawapan dari Imran. Buat seketika Imran terkedu dengan kenyataan Suhail. Fikirannya ligat mencari sesuatu.

"Im, kau dengar tak apa aku cerita ni?" Suhail menepuk paha Imran.

Imran mengangguk. Matanya merenung wajah kelat sahabatnya. Berat rasanya hendak dituturkan kata-kata. Namun, sebagai sahabat, dia perlu beritahu kepada Suhail.

"Suhail, barangkali Sarah kepenatan semalam. Aku dengar muslimah kelas kita ada program di luar. Boleh jadi stress dengan program, assignment lagi, dah tu dengan tugas dia sebagai isteri lagi."

Suhail mengangguk. Sememangnya isterinya telah memaklumkan lebih awal semalam. Sebab itu dia berusaha untuk pulang awal. "Kalaulah assignment Ustazah Hanizah tu takde.." gerutu hatinya.

"Tapi Suhail, aku rasa kau perlu lakukan sesuatu di sini." Imran mengubah nada suaranya.

Kening Suhail terangkat sebelah. Biasanya, andai Imran merubah nada seperti itu, pasti ada sesuatu yang penting. Itulah kelebihan sahabat baiknya ini.

"Andai baginda Rasulullah s.a.w. mendengar cerita aku ni, apa yang baginda akan kata?"

Imran tersengih. "Ya, aku teringat mengenai satu hadis nabi s.a.w. yang aku baca dalam sahih Bukhari. Kau rujuk dalam kitab Iman..."

Daripada Ibn ‘Abbas r.a. telah berkata, bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda,
"Aku telah melihat neraka, kebanyakkan penghuninya adalah wanita. Sahabat bertanya, "Mengapa wahai Rasulullah?" Baginda s.a.w. menjawab "Kerana kekufuran mereka." Baginda ditanya, "Apakah mereka kufur terhadap Allah?" Baginda bersabda "Mereka kufur terhadap suami dan mengingkari kebaikkan. Jika engkau berbuat baik kepada salah seorang dari mereka sepanjang masa. Kemudian dia menemukan sesuatu yang dia benci pada dirimu, maka dia akan berkata " Aku sama sekali tidak pernah melihat kebaikkan pada dirimu."


Suhail terdiam mendengar hadis tersebut. Ya, dia juga pernah membaca hadis itu.

"Setiap dari kita adalah pemimpin, dan akan dipertanggunggjawabkan atas rakyat yang dipimpin. Seorang lelaki adalah pemimpin kepada ahli keluarganya, dan dia akan ditanya mengenai tanggunggjawabnya itu..." Imran menyambung dengan sebuah lagi hadis yang diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim.

Suhail mengangguk tetapi masih lagi membisu.

"Allah s.w.t. juga telah berfirman dalam surah al-Tahrim ayat ke 6, 'Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya adalah manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan'."

Imran tersenyum. Begitulah setiap kali Suhail datang meminta nasihat kepadanya, dia akan menyelitkan hadis dan ayat al-Quran yang dipelajarinya. Memandangkan mereka berdua sememangnya mahasiswa dari bidang al-Quran dan as-Sunnah, jadi ia juga turut membantu mereka dalam pelajaran.

"Kau nampak perkaitannya?"

Suhail mengangguk.

"Apa yang kau nampak?" Imran mengusik.

"Kau memang saja nak aku bagi ceramah. Ni satu jam 10 ringgit ok?"

Imran tergelak. Terserlah kemesraan antara dua sahabat tersebut.

"Hadis dari Ibn ‘Abbas merujuk kepada perbuatan isteri aku yang terlepas kata. Semoga Allah melindungi kami sekeluarga dari azab-Nya. Dan aku sebagai ketua keluarga tidak sepatutnya membiarkan perbuatan tersebut berlalu dimamah masa. Di sini adalah tugas aku untuk mendidik dia agar perkara yang tidak disengajakan itu tidak berulang lagi. Dan takde la hati aku ni tercalar banyak kali."

Suhail berhujah sambil diselitkan dengan nada bergurau.

"Kemudian dari surah al-Tahrim tu, Allah mengingatkan kita orang beriman untuk melindungi ahli keluarga kita dari menjadi bahan bakar api neraka. Na'uzubillah... Allah turut menceritakan bagaimana dasyatnya malaikat yang menjaga neraka dan bagaimana setianya mereka menjalankan arahan Allah. Dan pastinya, arahan itu adalah menyeksa ahli neraka, dan mereka tidak akan berasa belas kerana itu adalah arahan Allah..."

"Allahuakbar...." Imran menyambut.

Tiada lagi suara dari keduanya. Masing-masing kegerunan apabila mengingatkan perkara tersebut.

Ya Allah, lindungilah kami dan ahli keluarga kami dari menjadi bahan bakar api neraka. Sesungguhnya kami tidak mampu menanggung azab seksa-Mu, dan kami malu untuk meminta nikmat syurga-Mu. Hanya dengan rahmat-Mu, dengan kasih sayang-Mu, Kau himpunkanlah kami sekeluarga di dalam syurga.

***************************

Seminggu kemudian......


~ For the rest of my life...~

Telefon bimbit Imran berbunyi. Segera diangkat sebaik melihat nama yang tertera.

"Salam ‘alaik akhi Suhail. Keifa haluka?"

"Alhamdulillah, sehat, ceria, gembira... semua ada."

"Ai, lain macam je jawapan kau ni. Ada apa-apa ke?"

"Subhanallah.... kau tahu Im, aku bakal jadi ayah. Rupanya selama ini isteri aku cepat moody disebabkan pembawaan budak dalam perut dia," suara Suhail kedengaran ceria.

Alhamdulillah, semoga Allah mengurniakan kau zuriat yang soleh dan solehah sahabatku....

0 comments